Wednesday, September 02, 2009

Hati gelisah jiwa merana

Hari ni aku terbangun lewat. Mengikut istilah sains, aku sudah terlewat untuk ke kuliah. Maka dengan tanpa syak bersalah, aku putuskan bahawa hari ni aku cuti ke kuliah. Tengok jam, dah pukul 9.30 pagi. tapi hari ni hari Isnin, tak ada drama Dragon Ball. Aku tarik selimut kembali.

10.30 pagi, aku bangun. Tengok belah kiri aku, Rosmahisham tak ada. Barangkali sudah ke kelas. Tengok kanan. Tergamam seketika. Aku berada di bulan? kenapa ada rupabentuk bumi di situ? ahh, aku tersedar. Itu rupabentuk belakang tubuh Mohd Faiz. Dia tidur membelakangi aku. Ponteng juga rupanya dia walaupun tidur tak berbaju.


Aku terus ke bilik mandi. Termenung beberapa ketika. Buka shower. Hulur jari sedikit untuk menguji tahap beku air pada ketika itu. Hmm..tak berapa sejuk. Aku hulurkan kepala. Kemudian kaki. Dan seluruh tubuh.


Selesai mandi, aku sarungkan pakaian, sikat rambut, bedak-bedak barang sekopi, lantas aku turun ke tingkat bawah. Aku lihat Mohd Azizi Ab Rahim terlungkup atas sofa pemberian jiran India yang baru saja pindah rumah. Nazrul Azihan asyik dengan Need For Speed Underground 2. Dia masih belum dapat mengatasi rekod aku dan Rosmahisham rupanya. Mohd Fauzi pula leka meng'format' laptop beliau di bawah tangga. Aku kira, ini kali yang ke dua puluh tiga beliau menjalankan operasi meng'format'. Ramai juga yang ponteng kelas hari ni rupanya. Girang aku seketika.


Aku ke dapur. Buka peti sejuk. Tak ada makanan. Yang ada hanyalah kambing, zirafah, gajah dan biri-biri yang datang dari teka-teki Hasbullah Che Ismail yang tidak terjawab pada malam sebelum kejadian. Maka secara tidak langsung, teka-teki beliau terjawab dengan sendirinya. Tapi beliau tiada di rumah. Barangkali ke kelas ataupun berjumpa dengan kekasihnya 'Itik'.


Tiba-tiba aku rasa gelisah. Entah kenapa. Serba tidak kena. Aku keluar mendapatkan Nazrul Azihan yang sedang asyik koya dengan racing beliau. Kenapa aku gelisah? takkan beliau sudah mengatasi rekod aku? tidak..rekod aku masih tidak ternoda. Lantas aku bersuara kepada Nazrul Azihan. "Han, pinjam WKL 1996 ko kejap'. Tanpa sempat beliau memberi jawapan, kunci motosikal Yamaha SS2 merah beliau sudah berada dalam genggaman aku.


Aku start, kacip clutch, masuk gear, lepas clutch, pulas minyak, zooom...aku menonong menuju ke kedai runcit cina Country Homes. Aku masuk ke kedai. Pusing-pusing. Aku tuju ke bahagian persuratan. Aku belek-belek surat khabar Berita Harian. Ah, propaganda!! teriak aku dalam hati. Belek pula Utusan Malaysia. Cis, plastik!! dalam hati juga. Belek Nanyang Siang Pau. Aku diam membisu. Akhir sekali, aku belek Metro. Buka halaman tengah. Ada gambar Zila Bakarin berkemban dengan kain batik jawa basah. Titis air pada badan beliau buat aku makin gelisah. Aku tutup akhbar Metro. Astaghfirullahal'azim..(aku tak ucap pun sebenarnya).


Aku kemudian ke kaunter pembayaran. Aku ambil gula-gula hacks 20sen. Seluk kocek, ah, tak ada syiling. Aku ambil not RM10, bagi dekat maknya apek dekat dalam kaunter. Dia bagi balik balik RM9.80. Aku terpandang rak di belakang maknya apek tadi. Macam-macam kotak ada. Dunhill, Camel, Benson, Wismilak, D'Jarum, Astro..Ah..dunia sekarang, masing-masing nak menghancurkan sesama manusia. Getus hati aku.


Terus aku pulang ke rumah. Tapi, aku jadi makin gelisah. Masih belum tahu apakah puncanya. Lama aku termenung. Aku kira balik duit baki beli gula-gula Hacks tadi. RM9.80. Betul. Maknya apek tak salah kira. Gula-gula tadi? untuk siapa? Tak boleh jadi, mesti ada sesuatu yang tak kena hari ni. Aku kembali ke kedai cina tadi.


***


Aku bersandar di pintu rumah. Kelihatan ada tiga ekor jin sedang enak memakan kepul-kepul asap yang keluar dari rongga-rongga badan aku. Ahh, nikmat rasanya pekena Dunhill 14.

No comments: